LOGO PERTUBUHAN


1. Logo atau lambang PSGFM berbentuk bulat diambil daripada Tapak Bulat atau langkah Melilit yang menggambarkan pergerakan dan kesatuan yang padu.

2. Perkataan membawa makna yang tertentu iaitu:

  • Seni bermakna hasil ciptaan yang indah sempurna iaitu silat yang berdasarkan seni budaya Melayu.
  • Gayung bermaksud seni beladiri zahir batin.
  • Fatani bermakna bijaksana,
  • Malaysia ialah negara Malaysia.

3. Warna merah lambang keberanian, hijau ialah kesuburan dan kepercayaan agama, kuning ialah kedaulatan, putih ialah suci dan bersih dan hitam ialah matang dan keluhuran.

4. Keris bersilang sarung lambang semangat kepahlawanan Melayu dan tangan bermaksud tanggungjawab, berusaha dengan gigih.

 
 

MOTO PSGFM


‘FATANI NUSA BAKTI’

Fatani bermakna bijaksana, pandai atau cerdik.  Nusa bermakna negara atau tanah air.  Bakti bermaksud sumbangan atau perjuangan ikhlas kepada diri, bangsa, agama dan negara.

Moto tersebut membawa pengertian bahawa pesilat, khususnya ahli PSGFM sebagai insan yang bertindak secara berakal atau bijaksana melaksanakan perjuangan demi kepentingan negara.  Menjauhkan diri dari segala yang tercela yang boleh membinasakan diri pada zahir batin.  Orang yang berilmu dan berakal bijak dapat menghayati keagungan Tuhan yang esa.  Sebagai insan sebaik-baik ciptaan di alam yang diangkat sebagai khalifah Allah amat arif dan mengerti makna kehidupan yang sementara kepada kehidupan yang kekal dan yang sehubungan dengannya.

 
 

KONSEP SILAT PSGFM


Konsep pendidikan silat PSGFM ialah silat untuk semua iaitu memberi peluang kepada semua peringkat umur, jantina tanpa mengira budaya, kaum, bangsa, bahasa, fahaman dan kepercayaan dapat mempelajari, mengamalkan dan mengikuti aktiviti silat dengan yakin tanpa was-was.  Pendidikan silat wajar diberikan kepada semua rakyat Malaysia seawalnya di peringkat bangku sekolah.  Silat telah diiktiraf sebagai seni beladiri rasmi negara dan diwartakan dalam Akta Warisan Negara, maka setiap rakyat Malaysia berhak mempelajari, mengamalkan dan melibatkan diri dalam aktiviti silat.

Silat merupakan institusi warisan kepahlawanan yang pernah memperjuangkan negara dari cengkaman penjajah.  Warisan pahlawan ini perlu dihayati khususnya oleh golongan generasi muda atau pelajar dengan mempelajari, mengamalkan dan mencintai silat sebagai seni beladiri warisan bangsa Malaysia disamping menjadikan Malaysia sebagai negara silat.

 
 

MATLAMAT PENDIDIKAN SILAT PSGFM


Matlamat pendidikan silat ialah untuk membangunkan dan mengembangkan silat Melayu serta mengekalkan keasliannya di samping dapat menyumbangkan satu sistem pendidikan silat yang menggunakan satu kurikulum silat yang telus dan setara sejajar dengan keperluan masyarakat sepanjang zaman.  Perkhidmatan pendidikan silat yang dapat melahirkan insan pendekar silat yang seimbang, berkepakaran dalam selok belok ilmu persilatan pada zahir dan batin serta memupuk masyarakat Malaysia yang cinta kepada silat Melayu yakni silat tempatan.  Ke arah meletakkan silat Melayu setanding dengan seni beladiri bukan silat di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Ilmu persilatan pada zahir ialah meliputi kemahiran gerak dan kaedah silat yang dapat ditanggapi oleh akal dan pacaindera secara cekap, tangkas, kuat kekuatan, ketahanan, kebijaksanaan dan sebagainya.  Ilmu silat pada batin ialah pembentukan rohani yang mengamalkan nilai-nilai murni seperti keimanan, akhlak, ketakwaan, kezuhudan, keimanan, keyakinan, kesabaran, kesetiaan, kejujuran, kesyukuran, ketenangan, kesopanan, budi bahasa dan sebagainya melalui amalan seni budaya Melayu dan kepercayaan agama Islam.  Paduan antara ilmu persilatan pada zahir dan batin dapat mengangkat nilai kemanusiaan tinggi.

Bahawa pendidikan silat untuk melahirkan ‘pendekar silat’ yang membawa makna insan yang ‘berisi’, yakni ilmu yang berkemahiran silat pada zahir dan batin untuk kesejahteraan dari aspek keduniaan dan akhirat.  Pendidikan silat berusaha mengangkat martabat manusia sebagai insan kamil yang sempurna untuk melakukan amal kebajikan.  Pendekar merupakan pewaris silat yang akan menyambung usaha membangunkan dan mengembangkan silat serta mengukuhkan seni budaya bangsa kepada tamadun dunia.  Maka dengan itu setiap pendidik perlu mengisi dadanya dengan berbagai ilmu yang bermanfaat kepada diri, agama dan negara.